Halaman

Subscribe Twitter

Tuesday, November 2, 2010

Gara-gara cemburu, suami belasah isteri hingga mati

BINTULU - Seorang wanita berusia 34, mati dibelasah suaminya dalam kejadian yang berlaku di Batu 78, Jalan Pesisir Bintulu-Miri dekat sini, malam kelmarin.

Dalam insiden yang berlaku jam 12 tengah malam, suspek, 33, yang baru balik minum dari sebuah pondok berhampiran, dipercayai cemburu apabila mendapati isterinya juga sedang minum bersama empat orang rakannya di rumah kongsi pekerja.

Ketua Polis Bintulu Superintendan Sulaiman Abd Razak ketika dihubungi berkata, wanita tersebut enggan mendengar amaran suaminya yang menegah agar jangan minum.

Katanya, berang dengan sikap isterinya, suspek hilang pertimbangan lalu memukul, menendang selain memijak perut mangsa hingga pengsan.

Adegan tersebut disaksikan anak tunggalnya yang berusia tiga tahun serta rakan-rakan sekerja yang lain.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Polis bagaimanapun tidak menemui sebarang senjata tajam dalam kejadian.

Polis dihubungi orang awam kira-kira jam 10 malam dan bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang selain mengalami lebam di beberapa anggota badan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dalaman, jika mengambil kira kesan lebam ditemui pada badan mangsa,” katanya.

Sementara itu, suspek yang berasal dari Dalat, kini direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

Mangsa yang berasal dari Mukah dikatakan menetap bersama suaminya di rumah kongsi itu kerana mengikutnya bekerja sebagai buruh kasar sejak beberapa bulan lalu.

Sumber : Borneo Post


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...