Halaman

Subscribe Twitter

Friday, November 12, 2010

Jenis Minyak Wangi


Minyak wangi ditampilkan dengan beberapa istilah berbeza bergantung kepada jenis-jenisnya? Haruman itu dirujuk sebagai Perfume, Eau de parfum, Eau de toilette dan Eau de cologne. Kesemuanya membawa maksud yang berbeza.

Kesemua istilah mempunyai makna dan penjelasan tersendiri.  Setiap jenis haruman itu memiliki ramuan atau kepekatan ekstrak wangian yang berlainan. Setiap jenis minyak wangi berbeza mengikut produknya dan kategori masing-masing dengan ditulis label tertentu pada botol haruman.

Jenis yang berbeza itu merujuk kepada kombinasi bahan-bahan yang diadun ke dalamnya. Kebanyakan wangian di pasaran terdiri daripada kombinasi bahan atau ramuan semula jadi yang kompleks.  Ini termasuk minyak daripada kuntuman bunga, tumbuh-tumbuhan atau produk sintetik. Pilihan bahan-bahan itu dibuat bagi meningkatkan kekuatan dan kadar ketahanan wangian tersebut bagi tempoh yang lama.

Alkohol biasanya dicampur sebagai bahan asas pengeluaran minyak wangi. Namun, ada juga minyak wangi yang menggunakan campuran air dan tanpa alkohol.  Untuk menentukan jenis minyak wangi yang dikeluarkan, kepekatan alkohol atau ekstrak haruman yang digunakan ini turut diambil kira.

Extract perfume (Extrait) yang lebih dikenali sebagai Perfume mengandungi 15 hingga 40 peratus kepekatan ekstrak haruman. Minyak wangi jenis ini dikatakan yang paling tulen dan sangat mahal kerana nilai asli yang dimiliki.  Tempoh masa haruman boleh bertahan lama jika dipakai.

Jenis kedua tapi paling popular ialah Eau de parfum pula mempunyai kepekatan alkohol dan wangian sekitar tujuh hingga 15 peratus. Jenis ini terdapat dalam kebanyakan produk haruman yang dijual di pasaran. Tempoh masa haruman bertahan agak lama.  Ia juga tidak semahal Perfume.

Eau de toilette menyuntik wangian yang lebih ringan dan lembut kerana ia mengandungi kepekatan wangian sebanyak satu hingga enam peratus. Haruman jenis itu tidak tahan lama. Pada mulanya, wangian jenis itu dicipta sekadar untuk menyegarkan mood seseorang.  Jika dipakai, wangian jenis ini perlu disembur semula di badan dalam tempoh satu jam.

Eau de cologne hampir sama sifatnya dengan Eau de toilette tetapi Eau de cologne mengeluarkan wangian minyak sitrus. Ini bermakna ia lebih lembut.  Tempoh masa wangian juga hampir sama dengan Eau de toilette.

Pilihlah wangian yang sesuai dengan kita berdasarkan kemampuan dan keperluan memakainya.


1 comments:

Unknown said... [Reply to comment]

wah..
info yg baik ni..

yup2.. mstilah beli ikut kemampuan..
hihihi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...