Halaman

Subscribe Twitter

Tuesday, November 2, 2010

Mati Kerana Tayar Lori

MIRI - Salah satu daripada tayar sebuah lori yang sedang bergerak, tercabut dengan tiba-tiba dan terpelanting sejauh 40 meter sebelum ia menghempap seorang pejalan kaki, di Jalan Krokop 10 di sini, Ahad lepas.

Pejalan kaki tersebut, James Looi @ Mohd Firdaus Abdullah yang berusia 49 tahun, meninggal dunia di Hospital Miri kerana kecederaan serius di kepala dan badan akibat kejadian itu.

Menurut jurucakap polis trafik Miri, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 pagi, ketika lori itu sedang bergerak menuju ke Krokop 10.

“Mangsa ketika itu sedang berjalan kaki di kawasan sekitarnya, apabila satu daripada tayar belakang lori itu, tiba-tiba tercabut dan melayang lalu menghempap kepala dan badan mangsa,” jelas polis.

Terkejut dengan kejadian itu, orang awam kemudian menghubungi ambulans dan polis yang kemudian membawa mangsa ke Hospital Miri.

Mangsa bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia kerana kecederaan serius di bahagian kepala dan badan.

Dalam pada itu, pemandu lori terbabit ditahan di lokap balai polis Miri untuk siasatan lanjut kes ini.

“Sehubungan itu pihak polis meminta ahli keluarga atau waris mangsa supaya datang ke Hospital Miri atau pejabat kami (polis trafik) untuk pengesahan dan menuntut mayat mangsa,” jelasnya.

Waris boleh menghubungi pejabat polis trafik cawangan Miri di talian 085-433587.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...