Halaman

Subscribe Twitter

Tuesday, February 1, 2011

Kanta Sentuh – Risiko Tersembunyi

Bukan semua orang sesuai untuk memakai kanta sentuh. Dapatkan nasihat dari pengamal yang berkelayakan untuk memastikan anda sesuai memakainya.




Mulanya kanta sentuh dicipta bertujuan untuk digunakan oleh mereka yang rabun. Namun kini penggunaan kanta sentuh telah bersifat terbuka. Apa tidaknya, mereka yang mempunyai penglihatan yang baik juga berlumba-lumba menggunakannya. Penggunaan kanta sentuh berwarna bagi tujuan kosmetik menjadi kegilaan sama ada oleh yang muda remaja mahupun yang telah mencapai tahap usia matang.

Kanta sentuh berwarna memang cantik bila dipakai. Apatah lagi ianya mampu mengubah penampilan si pemakai. Walau bagaimanapun, adakah kita sedar risiko tersembunyi di sebalik kecantikan yang ditampilkan melalui penggunaannya? Ramai yang membeli kanta sentuh berwarna tanpa merujuk kepada pengamal yang terlatih seperti pakar mata, optometris dan pakar optik berdaftar yang mempunyai permit untuk kanta sentuh terlebih dahulu. Apa yang penting ialah CANTIK sahaja.

Tahukah anda bahawa kanta sentuh boleh mengakibatkan komplikasi berikut:

Ulser Kornea iaitu jangkitan pada kornea. Ia merupakan komplikasi kanta sentuh yang paling serius. Ulser kornea boleh membawa kepada kebutaan.

Tanda-tanda seseorang dijangkiti ulser kornea ialah :
Mata merah
Rasa sakit pada mata
Penglihatan semakin kabur
Adanya tahi mata



Mata Kering di mana mata terasa kering.

Tanda-tanda:
  • Mata tidak selesa
  • Terasa bendasing dalam mata


Calar Pada Kornea iaitu luka di permukaan kornea.

Tanda-tanda:
  • Mata berair
  • Mata merah
  • Rasa sakit pada mata
  • Penglihatan menjadi kabur


Konjunktivitis Alergi merupakan reaksi terhadap bahan kotoran yang terdapat pada kanta sentuh.

Tanda-tanda:
  • Mata gatal
  • Mata merah
  • Tahi mata yang bertali-tali


Sekiranya anda mengalami salah satu dari tanda-tanda yang disebutkan di atas, silalah berjumpa dengan pakar mata atau pegawai optometris dengan segera.


PERLU:

  • Dapatkan kanta sentuh dari pengamal berkelayakan seperti pakar mata, optometris atau juru optik berdaftar yang boleh memberi preskripsi kanta sentuh.
  • Belajar cara yang betul untuk memakai, mengeluar kanta sentuh dari mata, mencuci dan menyimpan kanta sentuh.
  • Memakai kanta sentuh mengikut jadual yang ditetapkan.
  • Membasuh tangan dengan sabun dan keringkan tangan anda sebelum mengendalikan kanta sentuh.
  • Mencuci kanta sentuh dengan larutan disinfeksi yang dicadangkan dan digalakkan menggosok kanta dengan jari.
  • Bilas dengan saline sepenuhnya sebelum memakai kanta sentuh.
  • Mencuci dan mengeringkan bekas kanta sentuh setiap kali selepas kanta dikeluarkan dari bekas.
  • Letak bekas kanta sentuh di tempat yang kering dan bersih.
  • Tukar bekas kanta sentuh setiap tiga bulan.
  • Pastikan kuku anda bersih.
  • Dapatkan nasihat dari pembekal kanta sentuh anda sebelum menggunakan sebarang ubat titis mata.
  • Jalani pemeriksaan mata secara berkala, sekurang-kurangnya sekali setahun atau atas nasihat pembekal kanta anda.
  • Tanggalkan kanta dan berjumpa doktor dengan segera jika anda mengalami gejala seperti mata merah, sakit pada mata, mata berair berlebihan, mata menjadi sensitif pada cahaya, penglihatan menjadi kabur, bertahi mata atau mata bengkak.



JANGAN:

  • Jangan membeli kanta sentuh dari kaunter jualan atau internet tanpa nasihat dari pengamal yang berkelayakan.
  • Jangan memakai kanta sentuh kepunyaan orang lain.
  • Jangan memakai kanta sentuh semasa tidur walaupun ianya jenis pemakaian berterusan, kerana ia akan meningkatkan risiko infeksi mata.
  • Jangan menggunakan kanta sentuh semasa berenang.
  • Jangan rendam atau cuci kanta sentuh dengan saline buatan sendiri, air suling atau air paip.
  • Jangan guna larutan cucian kanta yang telah dibuka lebih dari 30 hari.
  • Jangan memakai kanta sentuh sekiranya terdapat iritasi pada mata atau mata merasa tidak selesa.


Anda BERISIKO lebih tinggi untuk mendapat KOMPLIKASI berkaitan dengan kanta sentuh sekiranya anda tidak mengikut nasihat PEMAKAIAN kanta sentuh yang betul.

Sekiranya anda tidak dapat mematuhi langkah-langkah tersebut di atas, anda diNASIHATKAN untuk memakai CERMIN MATA semula.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia


1 comments:

Anonymous said... [Reply to comment]

Salam... Mohon share kt fb sy... Fakta menarik nie (^^,)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...